Assalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh
SINDROM bisu, sikap tidak perihatin dan sifat pentingkan diri tanpa mempedulikan orang lain di kalangan setengah masyarakat kita, telah menyebabkan masjid kita seolah-olah lengang dan tidak dikunjungi sepenuhnya oleh ahli kariah.
Kehadiran bilangan jemaah yang tidak memberangsangkan di sesebuah masjid itu memperlihatkan kegagalan pihak masjid untuk menarik orang Islam supaya berjemaah di situ.
Mungkin, ini disebabkan tahap pengetahuan agama yang lemah di kalangan ahli masyarakat yang sepatutnya bertanggung jawab terhadap proses pengimarahan masjid atau surau, di kariah masing-masing.
Kini, dengan bangunan yang indah dan menarik disertai dengan segala kemudahan yang serba lengkap, masjid masih tidak dikunjungi sepenuhnya oleh orang Islam.
Sudah berdekad berlalu, keadaan masih begitu juga. Tidak ada tindakan dari mana-mana pihak untuk mengubah keadaan itu.
Situasi ini terus berlarutan menyebabkan masjid menjadi sekadar lambang keIslaman tanpa benar-benar mencapai hasrat murninya untuk menjadi pusat menjana insan bertaqwa, yang akan menjadi barisan pelapis umat Islam seluruhnya.
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan seseorang yang berdakwah ke jalanNya, akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firmanNya yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.”
(Surah Ali-Imran:104)
Maka terpanggillah seorang hamba Allah untuk membuat sesuatu bagi merungkai persoalan ini dengan meninjau masjid-masjid di seluruh negara; melihat keadaan setempat, meneliti segala kekurangan dan mengenalpasti isu-isu berbangkit.
Berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya, beliau telah membuat beberapa rumusan untuk menangani gejala yang melanda masjid kita itu.
Penelitian, pengalaman dan saranan beliau telah dicatatkan dalam satu manuskrip setebal 200 muka surat, yang kini diterbitkan untuk manfaat mereka yang sayang pada rumah Allah SWT ini.
Perkara-perkara yang dikemukakan beliau berdasarkan apa yang nyata berlaku di depan mata dan menjadi pengetahuan umum, namun disebabkan ketidakperihatinan masyarakat setempat, perkara-perkara itu tidak diambil peduli dan dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian sehingga kini, menjadi satu kemelut.
Insyallah, saranan beliau sekiranya dilaksanakan dengan sebaiknya oleh pentadbir masjid dan ahli jawatankuasanya dengan disertai oleh ahli-ahli kariah di tempat itu, dengan penuh keikhlasan dan atas semangat fisabilillah kerana Allah SWT, akan dapat menghangatkan lagi proses “pengimarahan masjid” hari ini.
Semoga segala usaha murni kita adalah satu jihad kepadaNya.
Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
AHMAD SUFFIAN
Editorial Consultant

No comments:
Post a Comment